Tuesday, May 1, 2012

Bersahabatlah seperti Rantaian Tasbih

 
::Sahabat Selamanya::
Bukan senang untuk menghadapi hari-hari sendirian tanpa sahabat di sisi. Tetapi harus bijak memilih sahabat yang boleh menunjukkan jalan. Hidup tidak pernah lari daripada membuat pilihan dan keputusan, dan sahabat yang ada di sisi turut sama membantu. 

Sahabat yang baik pasti akan membawa kita pada jalan yang betul, jadi jangan merajuk jika sahabat menegur. Tidak semestinya dia berlagak mahu jadi orang baik dan usah terasa hati andai sahabat menasihati. Itu petanda dia mengambil berat urusan dunia dan insyallah akhirat kita.

'Sekiranya sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.' Mulakan semula jalan kehidupan dengan bantuan sahabat yang sudi dan mahu membimbing dan menasihati kita. 

Semua daripada kita mengharapkan pertemuan bukan sahaja di dunia, bahkan sampai ke syurga. Jika Persahabatan kerana Tuhan berakhir disebabkan kematian, mereka dapat bertemu semula di akhirat. Jika Persahabatan itu dihijab dengan jarak yang jauh, mereka dekat kerana jambatan doa.

"Bina Persahabatan seperti dalam satu kaum keluarga, satu aqidah, 
satu hala tuju, satu tempat datang, satu pula tempat pergi. 
Sakit sama dirasakan sakitnya, dan senang sama dipanjatkan syukurnya."

Monday, April 30, 2012

Dedaun yang Gugur Sesekali tidak akan Membenci Angin

 
 

Wahai tuhanku, betapa telah kau aturkan perkenalan sehingga membenihnya persahabatan dan kau pupuk ia tumbuh subur di hati kami agar bercambah keimanan, namun andai hadirku menjadi ulat yang merosakkan antara dia denganMu, maka tidak ada tangguh untukku berundur dari dalam hidupnya.
 
KeranaMu Tuhanku, saat aku memohon teman yang mengemburkan keimanan dan kau anugerahkan dia menjadi pohon singgahsana agar rimbunya menjadi teduhanku dari bahang kemarau kehidupan. Bagaimana kau meminta dia dariku kembali, sedang aku dan dia nyata milikMu.
 
PadaMu kuserahkannya, andai pengorbanan itu mahar keredhaan, kerana saat kau hadirkan pertemuan, telahku redha untuk sebuah perpisahan. Pernahkah kita bertemu dengan seorang yang tidak pernah kita kenal siapa dia, tidak pernah kita tanya dari mana asalnya, dan dia duduk seketika bersama kita, menyinggahi kamar kehidupan dan meninggalkan kalam bisunya di ruangan jiwa.
 
Dimensi pertemuan itu berbeza, saat kita tidak pernah melihat wajahnya, namun kita bagai tahu bagaimana redup pandangannya. Dan tika kita tidak pernah sekali pun mendengar suaranya, kita bagai kenal nada bahasanya.
 
Dan kita tertawan pada agamanya, saat tazkirah dan nasihat menjadi utusan hatinya. Saat hadis-hadis baginda bermain dalam ratib bahasanya dan Al Huda menjadi ayat karangan jiwanya, dan bagi kita, sahabat adalah keperluan jiwa, dialah ladang hati yang kita taburi dengan kasih dan kita tuai dengan penuh terima kasih. Dan pada kita dialah anugerah istimewa darinya saat kita memohon padanya memilih teman perjalanan yang terbaik dalam kembara perjuangan di jalanNya.
 
Begitu tika Dia hadirkannya berkali-kali menemani lena kita, saat istikharah yang kita pinta menjadi jawapanya. Sehingga seluruh jiwa kita menyangka dialah sahabat yang bakal menjadi tonggak perjuangan selama masa kehidupan, dan tika itu kita mengharapkan persahabatan yang berpanjangan dengan ikatan yang lebih kukuh dan diredhai, agar utusan hatinya sentiasa menemani kita, ratib bahasanya terus didendangkan di telinga dan karangan jiwanya terus kemas terukir saat kita alpa.

Dan tidak pernah ada prasangka, bagaimana andai hadir kita memberi masalah padanya, kewujudan kita tanpa sedar menggangu hatinya, bertemu pencipta. Dan kita terpaku tiba-tiba, dari doa yang kita pohon agar persahabatan dinaungi rahnatbnya tiba-tiba bertukar cela, mungkinkah persahabatan itu penuh terpalit dosa, apakah nasihat kita melaghokan jiwanya, saat kita bersahabat kerana agamanya.
 
Namun tiba masa mengharuskan kita sedar, saat pertemuan diqasadkan untuk memburu redhanya maka perpisahan kerananya pasti membuah makna. Tika kita merunduk tawadhu pada ketentuanNya dalam kudus jiwa kita membalas pada ketentuan takdir. Yakinlah dia tidak pernah menganiaya hambanya.
 
Kalau kehadiran dianggap menyusahkan, moga pemergian menghembuskan ketenangan. Bila membenih subur kerana ukhuwah, biar jatuh gugur dalam mahabbah. Kerana daun yang jatuh takkan sekali-kali membenci angin. Dan amankanlah hatimu janjiNya : Dan sekali-kali tidaklah Rabb-mu, menganiyayai hamba2nya” Fussilat:46